Friday 12 October 2007

Si dia yang telah pergi…

Terlalu singkat!!! Terlalu sekejap aku rasa. Aku belum puas bersamanya. Menikmati saat-saat indah bersama. Alangkah bahagianya hidupku ketika itu. Segala terasa manis bagiku. Walaupun ada manusia lain mengatakan ia pahit. Kerana mereka tidak faham hakikat sebenarnya. Sekiranya mereka faham, nescaya mereka akan menghargainya. Sesungguhnya itu adalah tugasku untuk menyedarkan mereka. Aku ingin mereka merasai kemanisan sebagaimana yang aku rasa. Adalah lebih manis bagiku untuk berkongsi apa yang aku rasa. Allahummahdiina wahdiihim…Amin.

Layanannya cukup istimewa. Tak dapat aku gambarkan dengan kata-kata dan tak mampu juga bagiku untuk membalasnya. Pada mulanya aku tidak menyedarinya. Aku buat tak endah je. Mungkin disebabkan hatiku yang buta(buta kerana diselaputi lumpur-lumpur kotor maksiat). Namun dia terus melayanku tanpa putus asa bahkan dengan lebih hebat lagi. Pelbagai ganjaran yang ditawarkannya. Cuma aku yang yang tak nak merebutnya…

Alhamdulillah, akhirnya aku sedar juga. Sedar atas hidayah dari Tuhan yang Maha Kuasa. Tetapi aku dah terlambat… Masa untuk kami bersama semakin singkat. Saat perpisahan semakin hampir. Waktu yang masih tersisa ini aku manfaatkan sebaiknya. Aku rasa cukup bahagia…

Namun kini dia telah pergi meninggalkan aku. Dia telah pergi buat kali ini. Baru sebulan kami bersama. Akhirnya saat pepisahan itu tiba juga. Ku pegang tangannya erat-erat. Dia berjanji untuk datang lagi. Tetapi aku belum pasti adakah kami mampu bersua lagi ataupun ajal yang akan mendahuluinya. Mungkin inilah pertemuan kami yang terakhir.

Terasa sebak dihati untuk melepas dia pergi tetapi apakan daya taqdir Allah telah menentukan segalanya. Dia tetap pergi. Ku iringi pemergiannya dengan titisan air mata. Alangkah baiknya kalau dia dapat menemaniku buat selamanya…

Aku berjanji seandainya kami bersua lagi akan ku layannya dengan sebaiknya…

AKU MERINDUIMU YA RAMADHAN!!!

AKAN KU TUNGGU KEHADIRAN MU LAGI…

- beruntunglah bagi mereka yang telah memanfaatkannya –

لعلكم تتقون

No comments: